Rabu, 23 September 2009

Guru PJK yang Berkualiti

Bagaimana hendak menjadi guru Pj yang berkualiti? Persoalan yang perlua dijawab oleh diri sendiri. Namun, di sini saya cuba bincangkan ciri-ciri kualiti yang perlu kita cari.

Aspek pertama ialah kehendak hati sendiri. Hati kita yang menetapkan arah profesion kita. Jika guru PJ cemburu terhadap guru lain yang tidak berpanas, satu kesilapan dalam pemilihan bidang telah berlaku. Begitu juga jika kita gagal mempertahankan hak kita seperti penggunaan waktu PJ untuk digantikan dengan subjek peperiksaan (bagi murid yang pandai) atau kerja buruh (bagi murid yang kurang pandai) oleh pentadbir sekolah.

Aspek kedua ialah pengetahuan kita tentang bidang PJK. Ramai guru PJ kurang mengambil berat tentang kandungan pelajaran. Mungkin ada yang tidak tahu definisi dan komponen kecergasan dan aktiviti yang berkaitan dengan setiap komponen tersebut. Perkara ini perlu diatasi dengan merujuk dan membaca buku supaya kita mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang PJK.

Aspek ketiga ialah kecergasan fizikal. Guru PJ perlu cergas dan sentiasa cergas. Kita gagal menarik perhatian pelajar jika kita sendiri tidak memiliki kecergasan fizikal. Apa yang dikatakan kelak ialah cakap tak serupa bikin. So, apa yang perlu dilakukan kita perlu kekalkan kecergasan.

Aspek keempat ialah kemahiran motor. Pergerakan asas seperti berjalan, berlari, melompat dan sebagainya adalah kemahiran motor yang asas bagi setiap manusia. Mungkin ada juga kemahiran komplek yang perlu dikuasai oleh kita. Sebagai guru PJK perlu atasi kelemahan diri jika dapati kita tidak begitu mahir dalam sesuatu kemahiran.

Aspek kelima ialah kemahiran pedagogi. Sebagai guru kita mestilah menguasai kemahiran mengajar terutama untuk pengajaran di padang. Ramai guru yang rasa kurang selesa untuk mengajar dipadang terutama aspek kawalan kelas. Suara guru PJK adalah penting. Kuat atau pelahan perlu digunakan pada masa yang sesuai.

Aspek keenam ialah tahu, faham dan aplikasi sukatan pelajaran bagi setiap kelas yang diajar. Jangan hanya permainan yang sama untuk semua kelas. Rancang pengajaran dengan sebaiknya. Kita akan dapat sediakan alatan, ruang, bahan pengajaran dengan baik dan menjadikan kelas kita menarik dan menyeronokkan.

Enam aspek ini akan membantu membentuk guru yang yang berkualiti.

Selasa, 22 September 2009

Persiapan Guru 2

Ramai guru-guru yang mengajar PJK mendakwa mereka tiada pengetahuan dan pengalaman. Nampaknya seperti institusi yang melatih dan mengajar mereka gagal dalam memberi latihan. Sebenarnya, semua guru yang lahir dari maktab perguruan atau institut perguruan, telah diberi bekalan yang mencukupi. Sedikit sebanyak mereka diberi waktu untuk belajar PJK di Maktab atau Institut Perguruan. Tiada sebab mereka dakwa mereka tiada pengetahuan.

Jadi, apa masalahnya sekarang? Apa yang sebenarnya ialah kehendak hati sendiri. Kalau rasa tak pandai , belajar. Tak tahu, tanya dari orang yang tahu. Cari buku dan baca. Banyak sumber ilmu masa kini berbanding masa lalu. Kadang-kadang rasa malu bila melihat guru vateran yang nak pencen masih boleh mengajar kemahiran-kemahiran asas dalm kelas mereka. Guru muda ambil mudah dengan membekalkan sebiji bola untuk direbut beramai-ramai. Duduk ditepi padang berkumpul 2-3 orang sambil bersembang. Ada yang lebih menyedihkan lagi ada yang merokok tanpa rasa malu dan bersalah.

Saya tak kata semua. Tetapi memang ada kelompok begini dalam kalangan kita. Apa yang perlu kita buat ialah sama-sama berubah kearah kebaikan murid dan generasi akan datang. Jangan abaikan murid dengan membiarkan mereka. Beri mereka ilmu hatta ilmu bermain dan bersenam. Memamng tak masuk periksa, tetapi ianya untuk kegunaan hidup yang seterusnya. Dah tua nanti, ada yang tak tahu berlari dengn betul semasa berjogging sebab mereka tak pernah diberi tahu oleh guru gaya berlari dengan betul. Ada yang tahu makanan seimbang sebab mereka tak pernah diajar langsung tentang makanan seimbang.

Jadi, jangan kita kelak dipersalahkan mereka. Mudah saja jawapan mereka, cikgu aku tak ajar pun. Ramai yang saya jumpa mereka memberi jawapan tersebut. Tak malukah kita?

Persiapan sebagai guru PJK

Ramai Guru Besar dan Guru Penolong Kanan kerap membuat kesilapan dengan memberikan tugas mengajar PJ kepada orang yang salah. Kebiasaannya PJK diagihkan kepada guru-guru sebagai pelengkap bilangan jam mengajar seminggu.

Kalau intan jatuh ke tangan tukang potong berlian, gemerlap lah ia. Tapi, kalau sebaliknya bagaimana? Sudah pasti PJ menjadi pelajaran yang tiada tujuan di sekolah. Jadi apakah kriteria seorang guru PJK?

1. Pengetahuan Asas

Dalam kurikulum PJK, terdapat kandungan ilmu yang disusun dalam 3 tunjang utama iaitu, kecergasan, kemahiran dan kesukanan. Tunjang kecergasan menuntut guru mendalami pengetahuan tentang komponen kecergasan. Bagitu juga tunjang kesukanan.

2. Kemahiran

Tunjang Kemahiran memerlukan guru yang memiliki kemahiran asas dalam pergerakan asas, olahraga, permainan, gimnastik dan rekreasi.

Rabu, 16 September 2009

Nak jadi cikgu PJ?

Berburu ke tanah datar,
dapat rusa berbelang dikaki,
berguru kepalang ajar ,
bagaikan bunga kembang tak jadi.

Assalamualaikum dan Salam sejahtera, buat warga pendidik PJK samada yang sedang belajar, sedang mengajar mahu pun sudah tamat mengajar.

Pantun di atas mempunyai kaitan rapat dengan profesion seorang pendidik. Allahyarham Tn Haji Othman Omar (OO),bekas pensyarah bahasa MP Sri Pinang telah membacakan pantun ini kepada setiap ambilan guru pelatih MPSP. Harapan beliau ialah semua guru pelatihnya menjadi guru yang sebenarnya dan menjiwai profesion ini dengan bersungguh-sungguh. Terima kasih ayahanda, semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh.

Dewasa ini, bilangan guru pelatih semakin ramai dengan berbagai jenis ambilan samada sepenuh masa atau pun kursus dalam cuti. Bagi yang sepenuh masa terdapat pelbagai program sama untuk yang berusia (KPLI) atau yang masih muda (PPISMP).

Satu persoalan yang perlu dijawab, betulkah anda hendak menjadi guru? Kalau Arwah OO bagi 3 pilihan kepada kami untuk balik kampung sebab tak berminat pertama naik bas, kedua naik teksi, ketiga naik keretapi. Kapalterbang tak boleh. So.. anda bagaimana? Tak menyesal ke jadi cikgu ni?

Kalau rasa jiwa tak sesuai, lebih baik "quit" aje, daripada merosakkan anak bangsa dan generasi masa hadapan. Ingat!! kita hanya ditawarkan kursus, bukan dipaksa untuk mengikuti kursus. Ini program, anda yang pilih.

Muhasabah diri kita dan renungkanlah masa depan anak bangsa. Jangan jadikan profesion ini sebagai langkah mengatasi keadaan terdesak iaitu pengangguran.

Sekian, terima kasih